Calon PN mahu selesai isu tanah DUN Pintasan

153

18 SEPT: Calon Perikatan Nasional (PN), Fairuz Renddan, mendedahkan kempennya kini memasuki ‘gear lima’ dengan beliau sudah pusing ke lebih 80 peratus kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Kota Belud.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah berkenaan berkata, selepas bertemu muka dan bertanya khabar dengan sebahagian besar pengundi, beliau mendapati masalah utama penduduk di DUN itu adalah soal pemilikan tanah yang diduduki dan diusahakan mereka sekarang.

Fairuz berkata, cerita yang lebih menyedihkan apabila ada ramai penduduk mendakwa tanah yang mereka duduki dan usahakan selama berpuluh tahun kini terpaksa diserahkan kepada pihak lain atas arahan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Itulah isu yang kami mahu suarakan. Kalau kita minta dewan orang ramai atau padang permainan apa gunanya kerana kami semua tiada tanah. Kalau kita dapat projek pembangunan sekali pun jika kami hilang hak milik tanah diusahakan selama ini tidak gunanya.

“Jadi kalau anda mahu isu hak milik tanah ini diselesaikan maka kita kena undi Perikatan Nasional (PN) yang menjadi sebahagian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bakal merampas kerajaan negeri daripada Warisan pada 26 September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pemimpin bersama rakyat dihadiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Rampayan Laut di Kota Belud, Sabah.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya menegaskan beliau dan Kerajaan Pusat tidak mempunyai hak untuk campur tangan isu pemilikan tanah berkenaan kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri seperti ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan keadaannya mungkin berubah jika rakyat Sabah memilih untuk memberikan undi mereka kepada calon bernaung di bawah panji-panji GRS termasuk PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Jika rakyat Sabah memilih GRS untuk memerintah Sabah selepas 26 September depan saya memberikan jaminan lebih 100 peratus untuk menyelesaikan semua masalah dihadapi mereka selain merancakkan semula ekonomi di Sabah sama seperti di negeri lain,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.