BN iktiraf kemampuan anak muda

83

18 SEPT: Barisan Nasional (BN) memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada anak muda apabila meletakan 45 peratus calonnya dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) adalah terdiri daripada golongan belia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi BN kerana memberikan kepercayaan kepada calon anak muda bertanding dalam PRN kali ini.

Beliau berkata, tindakan itu menunjukkan kepimpinan amat yakin dengan calon yang diketengahkan mampu merampas kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dari Parti Warisan Sabah.

asyraf wajdi dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki turut membantu kempen calon BN bagi DUN Tanjung Batu, Andy Muhammad Surady Bandy, malam tadi.

“Apa yang paling penting adalah kawasan yang diberikan adalah kawasan yang boleh menang. Saya yakin di DUN Tanjung Batu ini kawasan yang kita pernah menang dahulu dan diletakkan calon Pemuda.

“Itu satu contoh yang terbaik. Kalau dulu orang kata secara sinis bahawa letak kawasan yang kemalangan atau kawasan yang tidak boleh menang. Ini bukan dan ini kawasan yang kita boleh menang. Apa yang paling penting di peringkat Pemuda kita mencalonkan calon-calon yang berwibawa,” katanya ketika ditemui dalam program ceramah umum di DUN Tanjung Batu, Tawau, malam tadi.

Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, seramai 29 calon BN bakal bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah adalah muka baharu.

Bung Moktar dipetik sebagai berkata, semua calon yang dipilih adalah yang terbaik serta diyakini boleh memenangi kerusi di kawasan masing-masing.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata langkah mengetengahkan calon muda dan muka baharu itu dilihat mampu untuk mengubah landskap politik tanah air yang dikuasai oleh satu lapisan masyarakat sahaja.

“Agenda orang muda untuk Sabah itu penting untuk mengubah lanskap politik hari ini yang dulunya hanya dikuasai oleh warlord.

“Hari ini kita nak budaya warlord kita hakiskan dan yang tampil adalah wajah baharu yang berintegriti dan penuh amanah sebaik mungkin untuk rakyat,” katanya

Untuk rekod, UMNO mengetengahkan empat calon muda termasuk calon DUN Tanjung Batu, Andi Muhammad Surady Bandy.

Malah Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang mewakili BN turut mempertaruhkan calon paling muda, Yillson Yanggun, 23, untuk kerusi DUN Tandek di Parlimen Kota Marudu.

BN sebelum ini mengumumkan akan bertanding 31 kerusi daripada 73 kerusi DUN termasuk 13 kerusi baharu yang diwujudkan berikutan proses persempadanan semula.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.