ADUN P. Pinang tiada kaitan laporan polis palsu

126

18 SEPT: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang didapati tiada kena mengena dengan siasatan kes laporan polis palsu oleh pegawai khas beliau.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, ADUN berkenaan sama sekali langsung tidak terlibat dengan laporan palsu itu yang kononnya disamun pada 12 September lepas.

“Soalan sama ada polis merekodkan keterangan ADUN itu.. tiada keperluan (rekod keterangan), sebab beliau tidak terlibat langsung dalam kes ini

“Kami sedang lengkapkan kertas siasatan untuk dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan seterusnya,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, Sahabudin memberitahu hasil siasatan polis mendapati pegawai khas berkenaan bersama adik lelakinya memang sengaja membuat cerita konon disamun kerana enggan membayar wang RM60,000 kepada individu yang mengugut adiknya.

“Dalam kes ini, wang kononnya RM60,000 itu memang tidak wujud langsung dan ia (duit) juga bukan milik ADUN berkenaan, suspek bersama adiknya hanya buat cerita mereka disamun sahaja.

“Polis telah merekodkan keterangan semua pihak terlibat,” katanya.

Terdahulu, polis telah menahan pegawai khas kepada seorang ADUN di Pulau Pinang pada Isnin lepas bagi membantu siasatan berhubung satu laporan palsu dibuat lelaki berusia 30-an itu kononnya dia disamun RM60,000 pada 12 September.

Polis juga turut menahan adik lelakinya berumur 20 tahun selepas siasatan mendapati terdapat maklumat yang mengelirukan serta bercanggah dalam keterangan mereka.

Dua beradik itu kini telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat menurut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan polis palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.