700 bekas ahli PAN Labuan masuk UMNO

98

18 SEPT: Seramai 700 bekas ahli Parti Amanah Negara (PAN) Labuan mengambil keputusan menyertai UMNO Labuan.

Borang penyerahan itu diserahkan kepada Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Bahagian UMNO Labuan merangkap Pengerusi BN Labuan, Senator Datuk Bashir Alias di sebuah hotel, semalam.

Bekas Ketua PAN Bahagian Labuan, Chemat Mustapha menyifatkan parti itu sebagai platform yang tepat untuk mereka meneruskan perjuangan politik demi kepentingan orang Melayu.

Menurut beliau, penghijrahan beramai-ramai ke dalam UMNO sudah lama difikir dan dibincangkan ahli jawatankuasa di semua 25 cawangan PAN Labuan.

“Kami harus berterima kasih kepada Tan Sri Annuar dan Datuk Bashir kerana menerima kami kembali dalam UMNO.

“Kami merasakan UMNO adalah parti yang tepat untuk menyatukan orang Melayu di Labuan manakala moto Demi Bangsa dan Negara akan terus menjadi panduan dalam perjuangan politik kami,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, UMNO mengambil pendekatan mengalu-alukan penyertaan bekas ahli UMNO atau ahli mana-mana parti politik lain ke dalam UMNO.

Menurutnya, UMNO adalah sebuah parti politik yang mewakili kepentingan orang Melayu semata-mata dan bertanggungjawab menjaga keharmonian segenap lapisan masyarakat di negara ini demi kestabilan politik.

“UMNO membuka luas pintunya kepada ahli mana-mana parti politik dan bekas ahlinya untuk menyertai atau menyertai semula parti itu

“Namun cabaran kami yang lebih besar ketika ini ialah menyatukan orang Melayu dan komuniti Islam (kesatuan Melayu) tanpa menjejaskan pihak lain kerana perpaduan amat penting demi kestabilan politik di dalam negara.

“Oleh itu, UMNO membuka pintunya kepada sesiapa sahaja yang berhasrat menyertai parti ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.