200 banduan lari dari penjara

458

18 SEPT: Pasukan keselamatan terpaksa bekerja lebih masa setelah lebih 200 banduan meloloskan diri dari penjara dan kemudian bersembunyi di kawasan bukit berhampiran bandar Moroto Uganda.

Memetik laporan AFP, jurucakap penjara, Frank Baine berkata, sebelum melarikan diri, mereka menyerang pengawal dan merampas senjata.

Tiga banduan dan seorang anggota tentera disahkan maut dalam kejadian berbalas tembakan.

Malah, beberapa orang banduan dilihat berlari dalam keadaan separuh bogel selepas mereka menanggalkan pakaian seragam penjara berwarna kuning terang bagi mengelakkan daripada dikesan dengan mudah.

penjara
Beberapa banduan menanggalkan pakaian penjara yang berwarna kuning terang semasa melarikan diri.

“Banduan terbabit turut mencuri pistol dari depoh senjata penjara kerajaan sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berbukit di wilayah terpencil itu, dengan pihak polis dan tentera mengejar mereka termasuk menggunakan helikopter.

“Kita juga berjaya menangkap kembali tujuh banduan selepas berbalas tembakan dan bakinya akan terus dicari,” katanya.

Beberapa warden penjara turut dicederakan ketika banduan terbabit melarikan diri, dalam kes yang dianggap jarang sekali berlaku dalam sejarah jabatan penjara Uganda.

Pesuruhjaya Penjara Uganda, Johnson Byabashaija, berkata pasukan pemantau menggunakan helikopter sedang giat mencari kawasan sekeliling.

“Ada antara banduan ini penjenayah berbahaya yang terbabit dalam kes curi lembu menggunakan senjata di serata Karamoja, sebuah wilayah miskin bersempadan dengan Sudan Selatan dan Kenya.

“Kami bimbang senjata yang dicuri ini mungkin digunakan untuk jenayah, namun kami yakin pihak berkuasa dapat memberkas mereka semula dan orang ramai dinasihatkan bertenang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.