Tebus kesilapan lalu, Sabah pilih GRS

161

17 SEPT: Rakyat Sabah perlu menebus kesilapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan memilih parti gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu perlu kerana Parti Warisan Sabah (Warisan) bukan hanya mungkir janji, malah tidak melaksanakan projek pembangunan dan gagal membela nasib rakyat Sabah sepanjang 26 bulan menjadi kerajaan negeri.

Menurut beliau, rakyat Sabah perlu membuat pilihan tepat bagi memastikan kehidupan mereka menjadi lebih baik pada masa depan.

“PRN ini menguji tahap kebijaksanaan rakyat Sabah supaya memilih calon PN dan gabungan parti yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan pada 26 September ini bagi membolehkan kita membentuk kerajaan negeri baharu.

“Kalau di sini saya berharap lebih 16,000 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu akan memilih calon PN dengan mengundi calon nombor 1 pada 26 September ini,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong PN dan BN sempena Program Ramah Mesra Bersama PM di Kuala Penyu, hari ini.

Muhyiddin
Muhyiddin Yassin ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama PM di Kuala Penyu, Sabah, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, merangkap Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, beliau dipilih untuk memikul tanggungjawab mengetuai kerajaan dalam tempoh yang sukar akibat COVID-19, namun rakyat masih terus menjadi keutamaan.

Beliau berkata, walaupun dilabelkan sebagai ‘Perdana Menteri pintu belakang’, namun itu tidak sesekali melemahkan semangatnya dan barisan Kabinet untuk terus berbakti kepada rakyat.

“Ada sesetengah kata, saya Perdana Menteri ‘pintu belakang’ (tapi), saya datang dari pintu istana dan tidak terduga saya berdepan cabaran maha besar.

“Saya pikul tanggungjawab dan tidak kira asalkan rakyat Malaysia berhak terima perlindungan daripada kerajaan,” katanya.

Muhyiddin juga menyatakan komitmen bahawa kebanyakan pembangunan infrastruktur yang dirancang kerajaan Persekutuan di Kuala Penyu akan tetap diteruskan.

Katanya, kerajaan PN mahu membuktikan kemampuan untuk menguruskan negara walaupun dalam keadaan sukar.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini adalah penentu untuk mengembalikan Sabah menjadi sebuah negeri yang lebih baik.

“Saya berharap kerajaan negeri yang dibentuk sehaluan dengan kerajaan PN dan gabungan parti lain,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.