Syed Saddiq daftar parti Muda hari ini

241

17 SEPT: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan beliau akan memohon pendaftaran parti baharu yang dinamakan Muda hari ini.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam wawancara bersama stesen radio BFM 89.9.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan stesen radio berkenaan, Syed Saddiq akan bergegas ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebaik sahaja wawancara selesai.

Secara ringkas, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, parti yang ditubuhkannya itu terbuka kepada semua kaum dan bukannya untuk orang Melayu sahaja.

Sebelum ini, Syed Saddiq menyatakan tidak berminat untuk menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu mencetuskan pelbagai persoalan kerana beliau dikenali sebagai seorang penyokong tegar Dr Mahathir.

syed saddiq
Dr Mahathir sendiri kurang yakin dengan parti baharu yang ditubuhkan Syed Saddiq.

Malah, Dr Mahathir sendiri bersikap pesimistik terhadap keupayaan parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga menegaskan, model parti yang mahu ditubuhkan Syed Saddiq tidak akan berjaya dan tidak sesuai diguna pakai di negara ini.

Beliau juga melahirkan rasa hairan dan pelik dengan motif sebenar Syed Saddiq mahu menubuhkan parti berasaskan golongan muda sedangkan di setiap kawasan terdiri daripada pelbagai lapisan umur termasuk orang muda dan orang tua. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.