PM bantu kempen, Jumat makin yakin tawan DUN Darau

170

17 SEPT: Kehadiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, meningkatkan keyakinan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jumat Idris untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, kehadiran Perdana Menteri ke situ membuktikan beliau bukan hanya mendapat sokongan penyokong BN, malah turut didokong rakan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kawasan itu.

Calon BN DUN Darau, Datuk Jumat Idris

Malah, Jumat berkata, beliau bersyukur kerana selama beberapa hari berkempen, dia kini mendapat sokongan padu daripada penyokong dan ahli parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sama ada BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Alhamdulillah selepas beberapa hari kempen kita boleh nampak pengundi kini berpihak kepada GRS untuk menggantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam DUN ini.

“Oleh kerana kerusi DUN Darau ini terletak di pinggir bandar yang kebanyakan penduduknya adalah golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan pertengahan (M40) maka mereka berpesan kepada saya supaya menyampaikan pesanan kepada YAB Tan Sri agar dapat membantu mereka menerusi bantuan wang tunai secara ‘one off’.

“Tindakan ini perlu kerana ramai golongan B40 dan M40 ini hidup dalam keadaan tertekan seperti sudah jatuh ditimpa tangga kesan daripada penularan pendemik COVID-19 sejak Mac lalu,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena program pemimpin bersama rakyat di peringkat DUN Darau di Sepanggar, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Jumat menggesa rakyat dan pengundi DUN Darau supaya memberikan sokongan padu kepada calon daripada GRS kerana mereka mewakili Kerajaan Persekutuan yang sentiasa prihatin kepada nasib rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

Beliau berkata ini terbukti apabila kerajaan PN memperuntukan RM250 bilion termasuk RM2.2 bilion kepada rakyat Sabah bagi memberikan bantuan wang tunai secara ‘one off’ kepada golongan B40 dan M40 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN.

“Saya melihat kerajaan negeri sekarang iaitu kerajaan Warisan tidak mampu membela nasib rakyat Sabah. Malah, bilangan mereka yang menerima bantuan daripada kerajaan negeri berjumlah RM300 bagi setiap keluarga terjejas akibat COVID-19, sebelum ini pun boleh dibilangan dengan jari.

“Kalau tidak percaya saya nak tanya anda semua. Siapa di sini yang mendapat bantuan RM300 dijanjikan kerajaan negeri ketika COVID-19 sila angkat tangan (dijawab tiada seorang pun). Jadi ini menunjukkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin jauh lebih baik kerana semua rakyat yang layak mendapat bantuan PRIHATIN tanpa mengira fahaman politik atau kaum apa.

“Sebab itulah saya berharap tuan puan akan memilih saya sebagai wakil rakyat DUN Darau ini pada 26 September nanti kerana saya bersama parti yang berada dalam gabungan sama dengan PN,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.