Perubahan untuk Sabah bangkit lebih cepat

117

17 SEPT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan dakwaan netizen kononnya beliau menghina rakyat Sabah dengan menggelar mereka miskin dan mundur.

Muhyiddin berkata, sebenarnya netizen salah faham dengan apa yang dikatakan olehnya bahawa rakyat di seluruh negara termasuk di Sabah menjadi semakin tertekan kerana kemerosotan ekonomi dan kekurangan pendapatan kesan daripada penularan COVID-19.

“Ramai netizen salah faham saya tidak pernah menyatakan rakyat Sabah miskin dan mundur tetapi apa yang saya katakan tidak begitu. Apa yang saya katakan realiti orang yang kaya tetap kaya tetapi kerana COVID-19 ramai yang golongan pertengahan kini jatuh miskin.

“Jadi anda pengundi di sini mempunyai peluang untuk membuat perubahan, sebab itulah peranan kita sekarang cukup besar untuk menentukan supaya Malaysia muncul sebagai negara paling maju di dunia,” katanya ketika berucap di majlis bersama pemimpin di pekarangan Masjid Darau di Sepanggar, sebentar tadi.

Berikutan itu, Muhyiddin memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membawa lebih banyak projek pembangunan dan pelaburan ke Sabah jika pengundi memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, rakyat Sabah perlu memilih calon GRS kerana mereka mewakili parti yanng mempuyai hubungan rapat dengan kerajaan Perikatan Nasional di peringkat pusat pada 26 September ini jika mahu melihat pemulihan ekonomi negeri berlaku dengan lebih cepat.

“Saya tidak mahu menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tidak boleh buat kerja namun situasi sekarang amat sukar kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah tumbang dan digantikan oleh PN yang dipimpin oleh saya.

“Justeru, rakyat Sabah sewajarnya bijak membuat keputusan untuk menyokong dan mengundi semua calon parti gabungan GRS termasuk PN, Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS), SAPP dan lain-lain yang tidak perlu saya sebutkan satu persatu di sini.

“Ini parti-parti gabungan yang membentuk GRS dan apabila wakil mereka menang kita akan membentuk kerajaan negeri baharu di Sabah yang mampu bekerjasama dan menentukan ekonomi negeri ini kembali semula ke landasan yang betul, kesihatan rakyat mesti terpelihara.

“Ia adalah bukan tanggungjawab saya kerana hanya anda semua (pengundi) yang boleh membuat keputusan untuk memilih siapakah yang akan membentuk kerajaan negeri pada 26 September ini. Saya tiada undi di sini jadi saya minta anda mengundi calon GRS di sini bagi membantu kita merampas Sabah dari Warisan,” katanya.

Justeru, Muhyiddin berkata, rakyat Sabah tidak perlu berfikir panjang dan undilah calon mewakili GRS yang mampu membantu mengembalikan ekonomi negeri ini ke tahap sepatutnya.

“Jangan fikir panjang lagi ‘bah’ kerana saya cadangankan apabila tiba 26 September ini bagi yang muslim kita selawat beberapa kali kemudian undilah calon GRS seperti PN dan BN, kamu pangkah terus.

“Saya rasa rakyat Sabah memang sudah membuat keputusan untuk memilih sahaja calon GRS. Selepas beberapa hari berkempen di sini termasuk di Beaufort, Kuala Penyu dan di sini hari ini, saya melihat rakyat Sabah memang mahukan perubahan kerajaan negeri,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sekarang terpulang kepada rakyat Sabah membuat pilihan dan beliau hanya menyatakan kebenaran dan kemungkinan yang berlaku jika mereka memilih GRS untuk mentadbir negeri ini.

Beliau berkata rakyat Sabah perlu memilih calon GRS supaya negeri ini lebih cepat bangkit daripada pelbagai masalah terutamanya sosio-ekonomi. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.