Perintah darurat selatan Thailand dilanjut 3 bulan

95

17 SEPT: Perintah darurat di Narathiwat, Yala dan Pattani di selatan Thailand dilanjutkan selama tiga bulan lagi.

Perkara itu diumumkan melalui Warta Diraja Thailand yang disiarkan dalam laman sesawangnya, semalam.

Memetik laporan Agensi, perintah itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, pada 11 September lalu di bawah Perintah Darurat bagi Pentadbiran Awam dalam Keadaan Kecemasan, BE 2548 dan telah diluluskan oleh Kabinet.

Ia merangkumi semua daerah di tiga wilayah terbabit kecuali Srisakhon, Sungai Kolok dan Sukirin di Narathiwat, Betong di Yala dan Maikaen serta Maelan di Pattani.

Kenyataan susulan berhubung pengumuman itu turut menjelaskan lanjutan itu adalah bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan dan menangkap pemberontak yang cuba menggugat keselamatan negara melalui keganasan.

Ia juga bertujuan memastikan keselamatan penduduk di wilayah berkenaan terjaga berikutan peningkatan kegiatan pengganas sejak kebelakangan ini.

Pada akhir Julai lalu, Thailand mengumumkan rundingan damai antara kerajaan dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN), dihentikan sementara kerana ancaman pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, rundingan yang menyaksikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Mohd Noor, bertindak sebagai fasilitator, masih diteruskan secara maya.

Kedua-dua pihak mencapai kesepakatan bahawa rundingan ialah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik bersenjata di wilayah majoriti Islam di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di selatan Thailand.

Pemberontakan di selatan Thailand bermula pada 2004 di empat wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, yang mengorbankan 7,000 nyawa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.