Dua penggodam Malaysia dicekup kerajaan AS

125

17 SEPT: Dua rakyat Malaysia merupakan antara tujuh penggodam yang dikenal pasti oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam kegiatan mencuri identiti serta teknologi permainan, menuntut wang tebusan selain mengintip aktivis Hong Kong.

Memetik laporan AFP, lima lagi suspek ialah warga China.

Kesemua penggodam terbabit dipercayai melakukan aktiviti mereka selama enam tahun dengan suspek dari China disyaki beroperasi di Chengdu 404, syarikat di Sichuan yang menawarkan perkhidmatan jaringan keselamatan kepada syarikat perniagaan.

Mereka dipercayai menceroboh ratusan komputer syarikat di seluruh dunia bagi mengumpul identiti, menceroboh sistem komputer untuk memperoleh wang dan menggunakan ribuan komputer bagi melakukan tukaran wang kripto seperti bitcoin.

Dua lagi warga China yang juga bekas pekerja Chengdu 404 dan dua warga Malaysia didakwa menggodam syarikat permainan video terkemuka untuk mencuri rahsia serta artifak permainan, seperti kit dan kredit permainan untuk dijual semula.

Ketujuh-tujuh suspek dikenal pasti oleh pakar keselamatan siber sebagai ‘organisasi penggodam’ APT41 berdasarkan perkakasan dan teknik yang digunakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan di mahkamah, Jiang Lizhi, seorang penggodam Chengdu 404, dikatakan memberitahu rakannya pada tahun 2012 dia dilindungi Kementerian Keselamatan Negara China dan menunjukkan mereka dilindungi jika tidak melakukan pencerobohan di dalam negara.

“Beberapa pelaku jenayah percaya hubungan mereka dengan kerajaan China memberi mereka lesen untuk menggodam dan mencuri (maklumat) di seluruh dunia,” kata Pendakwa Persekutuan, Michael Sherwin dalam satu kenyataan.

Kertas pertuduhan tidak menunjukkan pengaruh politik secara langsung di sebalik aktiviti mereka walaupun penggodam mampu mengakses sistem komputer kerajaan di India dan Vietnam.

Namun, pada tahun 2018, Chengdu 404 menghasilkan program untuk mengumpul maklumat membabitkan individu yang terbabit dalam gerakan demokrasi di Hong Kong, termasuk laporan media AS mengenai layanan China terhadap minoriti Uighur di Xinjiang dan sami Buddha di Tibet.

Pendakwaan tidak menjelaskan bagaimana maklumat berkenaan digunakan.

Lima warga China dikatakan masih bebas manakala rakyat Malaysia ditahan pada Isnin lalu dan AS dalam proses mengekstradisi kedua-duanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.