584 individu ingkar arahan PKP

71

17 SEPT: Seramai 584 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana melakukan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 568 individu telah dikompaun manakala 16 individu direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (292), penjarakan fizikal (224), ingkar perintah PKPD (18), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (17), tidak memakai pelitup muka (14), ceroboh kawasan larangan (13), dan premis beroperasi lebih masa (6),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Operasi Benteng yang dilaksanakan oleh pasukan keselamatan telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 65 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga penyeludup dan tiga tekong serta merampas 10 kenderaan darat.

“Daripada jumlah itu, di Kompleks Rakan Muda, Bandar Penawar, Johor, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya menahan 27 PATI atas kesalahan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Di Rantau Panjang, Kelantan, pihak PDRM berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat dengan aktiviti penyeludupan,” jelasnya/

Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,571 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,556 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 15 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.