21 kes baru, satu lagi kluster di Sabah

106

17 SEPT: Sebanyak 16 kes tempatan COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Sabah mencatatkan satu lagi kluster iaitu kluster Selamat di Semporna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Kedah melaporkan kes tertinggi dengan tujuh kes, diikuti Sabah lima kes manakala Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu di Sarawak dan Pulau Pinang.

Katanya, kluster terbaru iaitu kluster Selamat melaporkan satu kes di Semporna dengan kes indeks kluster iaitu kes ke-9,969 merupakan seorang wanita warganegara Malaysia yang berusia 32 tahun.

“Beliau didapati positif COVID-19 pada 14 September 2020 ketika saringan kemasukan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang. Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, satu lagi kes positif COVID-19 telah dikesan.

“Kes merupakan pegawai perubatan yang merawat kes indeks. Sehingga 17 September 2020, sejumlah 118 individu telah disaring dalam kluster ini dan daripada jumlah ini, dua kes dikesan positif COVID-19 dan punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, keseluruhannya terdapat 21 kes dilaporkan dengan lima kes melibatkan penularan luar negara iaitu dua dari New Zealand dan masing-masing satu dari China, India dan Pakistan.

Tambahnya, sehingga kini, terdapat 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 674 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” jelasnya.

Mengenai kluster Benteng LD yang sebelum ini melaporkan kes tertinggi di seluruh negara, Noor Hisham berkata, hari ini terdapat dua kes baru dilaporkan dari kluster berkenaan.

Katanya, ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 474 kes dan setakat tengah hari tadi sejumlah 7,670 individu telah disaring dalam kluster ini dengan 2,838 masih menunggu keputusan ujian.

Ujar beliau, selain tiga kes dari kluster Semporna dan Benteng LD, Sabah hari jni turut melaporkan satu kes saringan kemasukan di Hospital Tawau manakala satu lagi kes saringan sign-off kapal di Pelabuhan Sipitang.

Bagi kluster Sungai di Kedah pula, terdapat enam kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Sungai pada hari ini yang menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 65 kes.

“Sehingga 17 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 22,317 individu telah disaring dalam kluster ini.

“Jumlah saringan bagi kluster ini adalah termasuk 1,148 petugas kesihatan, di mana seramai 26 petugas dikesan positif COVID-19.

“Satu lagi kes di Kedah melibatkan kes saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Daerah Kota Setar,” jelasnya.

Tambah beliau, dua kes di Pulau Pinang pula melibatkan kes saringan kontak rapat kepada kes ke-9,397 yang merupakan ahli keluarga tinggal serumah.

“Selangor pula satu kes saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh dan Sarawak satu kes saringan Pintu Masuk Antarabangsa,” katanya.

Tegas Noor Hisham, penularan virus ini boleh dielakkan dengan sentiasa memastikan penjarakan fizikal yang selamat, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer dan pemakaian alat pelitup muka. -M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.