Soal siapa KM selepas dapat majoriti mudah

68

16 SEPT: Barisan Nasional (BN) tidak mahu terlalu yakin akan memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri dan melantik Ketua Menteri baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau meminta semua pemimpin sama ada dalam BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu pun Perikatan Nasional (PN) bercakap soal siapa bakal Ketua Menteri Sabah hanya jika selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang PRN nanti.

Beliau menegaskan, masih terlalu awal untuk menentukan soal siapa Ketua Menteri nanti dan apa yang penting sekarang semua pihak perlu bekerja keras bagi memastikan GRS berjaya menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah atau menang di 37 kerusi DUN.

“Pada asasnya, apabila kita melepasi garisan iaitu mendapat 37 kerusi barulah layak untuk membentuk kerajaan. Jadi kita jangan terlalu yakin kerana rakyat melihat. Kalau kita terlalu yakin rakyat tak suka.

“Bagaimanapun, rakyat akan mendapat Ketua Menteri yang terbaik jika kita menang. Ini adalah norma baharu dan ia perlu dihormati semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama pemimpin di Kampung Pasir Putih, malam tadi.

Yang turut hadir sama, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; calon BN bagi DUN Tanjung Keramat, Shahelmy Yahya dan calon PN bagi DUN Petagas, Datuk Arsit Sedi.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN memutuskan untuk tidak bercakap soal siapa calon Ketua Menteri sehingga gabungan BN, PN dan PBS menang pada PRN.

Barisan Nasional
Jentera BN bersedia menggempur Warisan Plus.

“Kita bagi menang dulu sekurang-kurangnya 37 kerusi. Selepas itu kita runding dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan masa itulah kita lantik siapa Ketua Menteri.

“Parti yang dapat banyak kerusi maka itulah yang paling layak jadi Ketua Menteri,” katanya yang mengulas cadangan beberapa pemimpin Bersatu yang memberikan bayangan siapa Ketua Menteri mereka jika parti itu diberi mandat membentuk kerajaan bersama parti lain nanti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.