Sibuk berpolitik, Warisan gagal atasi masalah banjir

147

16 SEPT: Rakyat Sabah kini hidup dalam kesusahan dan menderita kerana kerajaan negeri yang dipimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terlalu sibuk berpolitik.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau pelik kerana kerajaan Warisan Sabah tidak menggunakan peruntukan yang sudah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi mengatasi masalah banjir di daerah Inanam, Sabah, sejak sekian lama.

“Kalau mengikut rekod kerajaan Persekutuan sudah menyediakan peruntukan bagi membina tebatan, melebar dan mendalamkan dasar Sungai Rampaian serta melebarkan Sungai Menggatal berjumlah RM36 juta menerusi RMK-11.

“Kerajaan meluluskan peruntukan berkenaan selepas mendapat laporan bahawa banyak kampung-kampung di kawasan sekitarnya di limpahan air sungai dan dilanda banjir apabila berlaku hujan lebat termasuk Kampung Delima, Kampung Telipot, Taman Bukit Sepanggar dan Inanam.

“Peruntukan berkenaan sudah disediakan oleh kerajaan Persekutuan, namun selepas 22 bulan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri Warisan memerintah namun mereka tidak membuat apa-apa untuk memperbaiki keadaan dan mengatasi masalah banjir di daerah ini,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Pemimpin BN/PN bersama penduduk dan pengundi di Inanam hari ini.

tuan ibrahim
Tuan Ibrahim dan calon BN bagi DUN Karambunai, Senator Datuk Yakubah Khan meninjau lokasi yang sering dilanda banjir di Inanam, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air hairan kenapa kerajaan negeri ditadbir Warisan tidak berbuat apa-apa biarpun peruntukan berjumlah RM36 juta berkenaan tidak pernah ditarik balik biarpun kerajaan Persekutuan bertukar dari BN kepada PH kira-kira dua tahun lalu.

“Saya pelik kenapa PH yang menjadi kerajaan Pusat selama 22 bulan dan Warisan mentadbir Sabah lebih 26 bulan tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah banjir di Inanam, walaupun peruntukan sudah diluluskan.

“Justeru, saya memberi jaminan bahawa saya sendiri akan turun padang meninjau sendiri dan akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah banjir di Inanam secepat mungkin dengan menggunakan peruntukan sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga mengesahkan bahawa beliau juga akan melakukan lawatan kerja dan tinjauan ke Kota Belud kerana difahamkan penduduk di daerah terbabit juga mengalami masalah sama. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.