Shafie layak dinobat ‘bapa pengumuman’

148

16 SEPT: Seorang bekas pemimpin PKR di negeri ini mengajak rakyat Sabah menolak Parti Warisan Sabah (Warisan) kerana Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hanya tahu menabur janji namun jarang menunaikannya.

Berikutan itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Jaffari Waliam, menegaskan Ketua Menteri Sabah itu layak digelar sebagai ‘Bapa Pengumuman dan Perasmian’ kerana suka menabur janji dan merasmikan sesuatu projek, namun selepas itu tiada apa-apa berlaku.

“Kenapa Shafie Apdal digelar ‘bapa pengumuman’? Sebab kerja dia cuma janji dan rasmi tapi satu pun janji tidak ditunaikan. Rasmipun semua usaha dari Barisan Nasional (BN) punya dulu. Itulah sebabnya saya ambil keputusan tidak menyokong Warisan selepas mengumumkan keluar dari PKR.

“Kenapa saya tidak menyokong Warisan? Sebab Warisan suka janji bulan dan bintang tapi tidak tunaikan. Macam baru-baru ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Shafie menjanjikan bantuan untuk B40 tapi satu pun tidak bagi. Ramai yang marah dengan janji Shafie.

“Sebelum PKP dia janjikan kilang perabot, mana kilang perabot itu? Kedua, janji kilang kaca yang mahu dibina di Sabah, mana kilang kaca? Janji kilang minyak, mana kilang minyak yang dibangunkan di Sabah? Tiada…

“Ini adalah satu penipuan, jadi saya minta rakyat Sabah kena pastikan PN (Perikatan Nasional) dan BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini. Jangan tersalah undi lagi, undi yang sehaluan dengan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Jaffari yang juga bekas Ketua Cabang PKR Libaran, Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri dan Menteri Kewangan Sabah seharusya tidak mempunyai masalah dalam membangun dan membantu rakyat Sabah kerana kepimpinan BN dahulu meninggalkan rizab kewangan yang cukup banyak.

“Saya tahu kerana saya adalah ADUN yang dilantik. Saya memang tahu sangat pentadbiran Warisan, dua tahun enam bulan tiada kemajuan yang dilakukan oleh Warisan di Sabah.

“Sebagai Ketua Menteri, bukan alasan kononnya dua tahun enam bulan adalah masa yang singkat untuk bangunkan Sabah. Dia adalah Ketua Menteri, Menteri Kewangan… dia ada kuasa.

“Dia boleh tarik pelabur ke Sabah tapi apa yang dia buat? Kerja dia potong reben, rasmikan semua yang dibangunkan oleh kerajaan BN dulu. Seperti bangunan yang dia duduk sekarang di Kota Kinabalu, semua hasil kerajaan BN.

“PKP juga adalah contoh terbaik menunjukkan Warisan gagal. Kalau betul dia mahu bantu, dia boleh bantu. Musa Aman tinggalkan rizab yang tinggi, mana itu duit… jadi jangan termakan janji Warisan lagi, jangan tertipu. Sabah ubah…Sabah ubah, apa yang dia ubah? Salah ubah…jadi kita kena ubah balik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.