Muafakat rakyat tunjang kedaulatan Malaysia

104

16 SEPT: Keselamatan dan kedaulatan negara dapat dipertahankan selama ini atas dasar perpaduan dan muafakat rakyat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat di negara ini harus memperjuangkan politik perpaduan dan menghapuskan politik kebencian, politik dendam kesumat dan politik asobiah yang merugikan.

“Tiada lagi slogan Sabah hanya untuk orang Sabah, Sarawak hanya untuk orang Sarawak, Semenanjung hanya untuk orang Semenanjung, tetapi kita semua adalah rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan.

“Sempena hari Malaysia yang disambut hari ini, marilah sama-sama kita menjaga keselamatan dan kedaulatannya,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menambah, Hari Malaysia bukan hanya sekadar slogan malah jauh sama sekali ianya sekadar sejarah.

Menurut beliau, kewujudan Malaysia dapat dipertahankan selama ini atas dasar perpaduan dan permuafakatan sebagai tiang seri yang sama-sama dibina dan disuburkan sehingga hari ini.

“Selamat Hari Malaysia buat semua rakyat yang cintakan perpaduan dan keamanan. Semoga Allah SWT terus memberkati Malaysia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.