Model getah krip tingkat taraf ekonomi pekebun

461

16 SEPT: Model pemprosesan getah krip yang diperkenalkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) berupaya meningkatkan peranan dan taraf ekonomi pekebun kecil getah di negara ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, model tersebut juga membolehkan mereka terlibat secara langsung dalam rantaian pasaran getah.

Menurut beliau, model itu memberi peluang kepada pekebun kecil untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti di sektor huluan, pengawalan kualiti bahan mentah serta pemprosesan getah.

“Model ini juga boleh digunakan sebagai rujukan kepada koperasi atau usahawan pekebun kecil bagi menghasilkan getah krip sebagai getah separa siap yang mempunyai ciri-ciri keseragaman dan kualiti baik di samping penghasilan serum pekat sebagai bahan tambah nilai.

“Ia menekankan konsep sifar buangan yang mana bahan buangan daripada aktiviti pemprosesan diguna semula dan diproses bagi menghasilkan bahan nilai tambah yang berpotensi untuk digunakan dalam sektor tertentu.

“Koperasi atau usahawan yang berminat untuk menerajui bidang pemprosesan getah krip serta serum pekat ini akan dibimbing oleh LGM,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin Aman Razali mengulas tentang lawatan kerjanya ke Ladang Bukit Ibam, Muadzam Shah, Pahang.

Turut hadir Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd Karli, Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dan Pengerusi LGM Properties Corporation (LGMPC), Muhammad Ismi Mat Taib.

Ladang Bukit Ibam ditubuhkan pada 1977 dengan keluasan 2,050.20 hektar dan diuruskan oleh LGMPC, sebuah perbadanan di bawah LGM. Ladang ini mengandungi model pemprosesan getah krip serta serum pekat dan penggunaan teknologi RRIM HYDROBEST™.

Teknologi RRIM HYDROBEST™ adalah bahan rangsangan lateks berasaskan air dengan dua fungsi, iaitu meningkatkan pengeluaran lateks dan pada masa yang sama meminimumkan panel torehan menjadi kering.

Ia merupakan formulasi berasaskan etefon dan telah diuji kepada pelbagai klon siri 2000 dan juga klon RRIM 3001.

Teknologi itu boleh digunakan oleh pekebun kecil seluruh Malaysia bagi meningkatkan produktiviti kebun getah. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.