Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 ditubuh

105

16 SEPT: Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang akan membincangkan isu-isu berkait dengan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Khas itu akan dipengerusikan beliau sendiri dan turut dianggotai Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, Menteri-Menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain yang akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

Katanya, Majlis Khas ini antaranya akan membincangkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan.

“Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2020 di Sibu malam ini.

Yang hadir sama Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, Wakil Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Tambah Muhyiddin, beliau berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perdana Menteri, soal kedaulatan wilayah Malaysia juga akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

“Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia. Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita.

“Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara.

“Ini termasuk melaksanakan Ops Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya.

Dalam pada itu, kata Muhyiddin, Kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya sentiasa komited untuk memastikan hak-hak bagi negeri Sabah dan Sarawak seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah terpelihara.

“Di peringkat awal pembentukan kabinet kerajaan Perikatan Nasional, saya telah mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.