Hanya 18 pekebun durian Raub dipanggil SPRM

93

16 SEPT: Hanya 18 pekebun dipanggil bagi membantu siasatan berhubung isu penerokaan tanah secara haram di Raub, Pahang.

Perkara itu disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa 50 atau 30 pekebun dipanggil untuk diambil keterangan.

“Untuk makluman, terdapat 12 lagi individu lain turut hadir, namun semuanya tidak berkaitan dengan siasatan kes berkenaan.

“Ingin dijelaskan bahawa penafian dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berhubung isu terbabit adalah merujuk kepada jumlah pekebun dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, SPRM memberitahu siasatan yang dijalankan berdasarkan undang-undang diperuntukkan dan tindakan diambil adalah bebas tanpa desakan daripada mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan mengenai isu penerokaan tanah itu yang berlarutan sehingga kini.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan SPRM akan terus memanggil pihak berkaitan untuk membantu siasatan berhubung isu itu dari semasa ke semasa.

“SPRM berharap semua pihak terbabit dalam isu berkenaan tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu dan memberi ruang kepada suruhanjaya ini untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Terdahulu,kerajaan negeri Pahang pada 1 Ogos lalu mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pekebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan diambil susulan kerugian ditanggung kerajaan negeri yang mencecah RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah di situ termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara lokasi diceroboh ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Tranum serta Tras. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.