BN mahu sapu bersih tiga DUN di Sepanggar

434

16 SEPT: Barisan Nasional (BN) mampu menawan kembali ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Sepanggar iaitu Karambunai, Inanam dan Darau jika semua ahli dan pemimpin parti bersatu hati bekerja keras menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan).

Calon BN di DUN Karambunai, Senator Datuk Yakub Khan berkata, peluang kali ini cerah kerana kekalahan BN di ketiga-tiga kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu kerana rakyat terpengaruh dengan janji manis Warisan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar berkata, rakyat kini sudah mulai sedar bahawa Warisan hanya tahu menabur janji tetapi tidak pernah menunaikan sehingga akhir rakyat menderita.

Yakub Khan

Sebagai contoh, Yakub berkata, sebelum membentuk kerajaan negeri, Warisan pernah berjanji untuk membantu menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi penduduk di DUN Darau, namun sehingga kini tiada usaha dilakukan ke arah itu.

“Dalam PRU-14 lalu BN tewas 4-0 iaitu ketiga-tiga kerusi DUN dan Parlimen Sepanggar, tetapi sekarang Insya Allah kita akan menewaskan mereka 3-0 dalam PRN kali ini,” katanya ketika berucap di majlis pemimpin bersama rakyat hari ini.

Difahamkan mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat kira-kira 63,000 pemilih berdaftar di bawah kerusi Parlimen Sepanggar iaitu 19,544 orang di DUN Karambunai; 18,600 di DUN Darau dan bakinya kira-kira 20,000 di bawah DUN Inanam.

Terdahulu, Yakub melahirkan rasa gembira kerana jentera BN bergerak semakin pantas apabila memasuki hari kelima kempen PRN memastikan calon BN meraih kemenangan pada 26 September ini.

Yakub berkata, antara masalah utama rakyat di DUN Darau adalah isu banjir yang sering berlaku akibat limpahan air dari sungai berhampiran setiap kali hujan lebat tetapi sehingga kini gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri pimpinan Warisan.

“Asal hujan lebat sahaja kawasan berkenaan akan dilanda banjir, malah dalam bulan Julai lalu sebanyak tujuh kali banjir berlaku, sekali gus menyebabkan kerugian harta benda kepada rakyat kita yang tinggal di kawasan terbabit.

“Jadi saya berbisik dengan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebentar tadi meminta beliau meninjau sendiri masalah dihadapi penduduk di kawasan terbabit,” katanya yang memaklumkan masalah lain di kawasan Parlimen Sepanggar terutama Inanam ialah pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.