500 jentera PAS bantu kempen GRS

83

16 SEPT: PAS akan menggerakkan 500 jentera parti ke seluruh Sabah bagi memastikan semua calon yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) meraih kemenangan pada 26 September ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu adalah sebagai tanda komitmen PAS dalam memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada pelbagai parti dari blok BN dan PN berjaya menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) sekali merampas semula tampuk pemerintahan negeri ini.

Menurut beliau, penyokong dan ahli-ahli PAS akan memberikan undi mereka kepada calon-calon BN dan PN yang bertanding.

PAS
Jentera PAS digerakkan bantu kempen GRS di seluruh Sabah.

“Saya beri jaminan kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) seluruh pengundi penyokong Pas akan beri undi kepada BN dan Bersatu dalam PRN.

“Ini adalah jaminan sebagai suatu pengesahan sikap yang diambil PAS dalam menghadapi pilihan raya kali ini semoga komitmen kami bersama-sama Muafakat Nasional ,” katanya ketika berucap di Program Ramah Mesra bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Putih, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Putatan, malam tadi.

Tuan Ibrahim menambah, rakyat Sabah akan menilai kekuatan GRS yang bergerak sebagai satu pasukan menjelang hari pengundian.

Beliau berkata, adalah mustahak untuk bersatu padu demi memastikan kemenangan terhadap gabungan itu seterusnya menjatuhkan kerajaan negeri ditadbir Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Malam ini saya akan jumpa semua jentera Pas di seluruh Sabah untuk kami gerakkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.