Unit elit mampu banteras jenayah alam sekitar

74

15 SEPT: Pasukan petugas khas cegah jenayah alam sekitar yang ditubuhkan semalam bakal menangani isu pencemaran di negara ini secara menyeluruh dan proaktif.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pasukan elit itu akan membabitkan kerjasama antara Unit Penguat Kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Biokeselamatan (JBK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, pasukan tersebut ditubuhkan dengan mengambil kira keadaan semasa pencemaran sungai yang makin meningkat dan keseriusan kerajaan menangani masalah-masalah berkaitan dengan jenayah terhadap alam sekitar.

MASRIZAL
AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD

“Insiden pencemaran ini memberikan impak yang besar kepada kelestarian alam sekitar, ekonomi negara serta menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di samping penubuhan pasukan ini akan memberi kelebihan kepada penguat kuasa.

“Di peringkat global pula, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jenayah alam sekitar adalah jenayah terancang keempat terbesar selepas dadah, pengubahan wang haram, dan pemerdagangan manusia yang mencecah sehingga AS$258 bilion pada 2016.

“Menurut PBB juga, angka ini meningkat antara lima hingga tujuh peratus setiap tahun. Isu jenayah alam sekitar bukan sahaja mengancam kelestarian negara dan kesihatan manusia, malah juga menggugat keselamatan negara,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara, hari ini.

Ahmad Masrizal berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator N Balasubramaniam berhubung penubuhan pasukan khas cegah jenayah alam sekitar bagi memastikan tindakan ke atas penjenayah alam sekitar ini dapat diambil dengan segera.

Sementara itu, menjawab pertanyaan tambahan N Balasubramaniam tentang penguatkuasaan terhadap kilang-kilang yang beroperasi bagi mengelakkan pencemaran terhadap air sungai seperti yang berlaku di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Ahmad Masrizal berkata, sejumlah 2,398 kilang di seluruh negara dikenakan tindakan oleh Jabatan Alam sekitar (JAS) atas pelbagai kesalahan melalui operasi dijalankan antara 1 Januari lalu hingga 31 Ogos lalu.

Tambahnya, ia sebahagian daripada 2,819 kilang yang diperiksa pihaknya, dengan antara kesalahan tidak mematuhi peraturan pembuangan sisa kimia secara berjadual serta pelepasan air buangan tidak terawat.

“Kementerian Alam Sekitar terus melipat gandakan tindakan melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) kepada semua kilang-kilang yang dikenal pasti berisiko menyumbang pencemaran air sungai.

“JAS akan menjalankan penguatkuasaan di lapangan secara berkala ke atas semua kilang-kilang memastikan mereka mematuhi AKAS 1974 secara sepenuhnya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.