Penularan COVID-19 Tawau, Lahad Datu terkawal

164

15 SEPT: Kerajaan belum membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tawau dan Lahad Datu kerana penularan COVID-19 di kedua-dua lokasi itu masih terkawal.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, sebanyak 305 kes daripada 331 kes positif di Tawau melibatkan banduan.

Menurut beliau, di Lahad Datu pula, sebanyak 86 daripada 89 kes positif merupakan tahanan di lokap.

ISMAIL SABRI YAAKOB

“Ini menunjukkan penularan jangkitan masih terkawal. Mesyuarat Khas masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan PKPD kerana ia melibatkan lebih 511,000 penduduk di Tawau dan 266,000 di Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri menambah, Kementerian Kesihatan akan membuat saringan secara bersasar melibatkan 25,000 individu di Tawau dan 13,000 individu di Lahad Datu.

Beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti lokasi-lokasi yang terlibat dengan Kluster Benteng Lahad Datu dan Kluster Laut iaitu di Mukim Sri Tanjung (7 lokasi), Mukim Wallace Bay (1 lokasi) dan Mukim Merotai (6 lokasi).

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti pusat-pusat kuarantin yang akan digunakan sama seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang.

“Satu blok di Penjara Tawau dan satu dewan masyarakat di Lahad Datu telah dikenal pasti sebagai pusat kuarantin berisiko rendah,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 132 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau menyatakan, daripada jumlah itu, seramai 14 individu direman manakala 118 orang dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (49), gagal merekod butiran pelanggan (12), ingkar perintah PKPD (30), gagal lunas bil kuarantin (2), parti peribadi (12) dan tidak memakai pelitup muka (27),” ujarnya.

Penguatkuasaan Operasi Benteng semalam pula berjaya menahan seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas sebuah bot dan tiga kenderaan darat.

Ismail Sabri turut menyeru orang ramai mengambil bahagian dalam Banci 2020 melalui e-Census sebelum berakhir pada 30 September ini bagi mengurangkan kadar interaksi banci secara bersemuka. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.