Pencemaran sungai: Kerajaan negeri mesti beri kerjasama

92

15 SEPT: Kerjasama utuh antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan diperlukan bagi menangani masalah pencemaran yang berpunca daripada pembuangan sisa pepejal di pinggir sungai.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap kilang-kilang yang melakukan pembuangan sisa pepejal berpanduan Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2007 (Akta 672).

Menurut beliau, walaupun kementeriannya menyediakan peruntukan kepada PBT, tanggungjawab melaksanakan progam-program sisa pepejal terletak di bawah bidang penguatkuasaan dari kerajaan negeri.

Ismail Abd Muttalib
ISMAIL ABD MUTTALIB

“Tetapi kerana akta ini perlu diterima pakai kerajaan negeri sudah tentulah kekuatan untuk menguatkuasakan pelaksaan ini agak terhad. Jadi, kita harap kalau boleh kerajaan negeri bersama kerajaan Pusat.

“Terima akta ini supaya kita dapat menguatkuasakan akta ini termasuk mengambil tindakan kepada pengilang-pengilang termasuk menarik lesen-lesen yang kita keluarkan kepada mereka,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara, hari ini.

Ismail menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husain Awang sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melihat keperluan meminda peruntukan akta bagi memberikan kuasa kepada PBT dalam mengawal pembuangan sisa penindustrian di sungai.

Sementara itu, menjawab pertanyaan asal Husain berhubung langkah proaktif diambil kerajaan dalam pembangunan mampan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu, beliau memberitahu, pihaknya sedang melakukan kajian terperinci bagi mengkaji mekanisme terbaik tanggungjawab pengeluar dilanjutkan (EPR) di negara ini.

Tambahnya, pelaksanaan EPR akan dapat mengoptimumkan kos sisa pepejal melalui perkongsian tanggungajawab bersama sekali gus mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh kerajaan.

“KPKT juga sedang menyediakan garis panduan untuk dijadikan rujukan agensi dan pihak berkenaan untuk bangunkan tapak buangan yang akan menambah baik pengurusan kitar semula dengan menyediakan fasiliti lengkap di samping mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Inisiatif ini dilaksanakan KPKT sebagai langkah kurangkan penjanaan yang dapat mengurangkan jumlah sisa di hantar ke tapak pelupusan seterusnya meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada di samping kurangkan kos yang ditanggung kerajaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.