MTIB sedia insentif perladangan buluh

167

15 SEPT: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menyediakan insentif berbentuk pinjaman mudah di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi menggalakkan bagi menggalakkan penyertaan usahawan pekebun kecil dalam perladangan buluh.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, insentif tersebut disediakan bagi pengusaha dalam kategori skala kecil antara empat hingga 40 hektar.

“Setakat ini, terdapat sebuah syarikat dari Sabah telah memohon peruntukan di bawah program ini dan proses penilaian sedang dilaksanakan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada Ahli Dewan Negara, Senator Adrian Banie Lasimbang, hari ini.

Adrian meminta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan adakah kerajaan membuka peluang kepada usahawan Sabah untuk membangunkan industri buluh di Sabah khasnya dalam penghasilan benih serta menyediakan program jaminan beli semula.

Kementerian itu juga telah mengemukakan permohonan projek pembangunan industri buluh melalui Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12).

“Ia merangkumi penyediaan insentif berbentuk anak pokok buluh dan baja serta kemudahan mesin asas bagi pekebun-pekebun kecil yang berhasrat menceburi industri buluh,” jelasnya.

Berhubung program jaminan beli semula, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi memberitahu, pada masa ini, inisiatif tersebut masih belum dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, kementerian melalui MTIB sedang berusaha menarik pelabur-pelabur dari luar dan dalam negara yang terlibat dalam pembangunan industri pemprosesan buluh.

“Selari dengan usaha ini, MTIB akan membuat perjanjian dengan syarikat-syarikat pelabur supaya melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bentuk jaminan beli semula untuk buluh-buluh yang dihasilkan oleh pekebun-pekebun kecil terlibat,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.