Manifesto GRS harapan baharu rakyat Sabah

149

15 SEPT: Rakyat Sabah akan diberikan pelbagai tawaran baharu menerusi manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bakal diumumkan di Kota Kinabalu, malam esok.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran baharu dibuat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini, bukan hanya membabitkan soal pembangunan, pendidikan dan ekonomi, malah beberapa perkara lain yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Secara asasnya ianya menjurus ke arah bukan hanya mengembalikan kepentingan rakyat Sabah sebagaimana yang tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi ada perkara baharu yang pada hemat saya menjadi satu harapan baru kepada rakyat Sabah.

“Insya-Allah tawaran baharu ini sebagaimana yang telah saya nyatakan untuk kita tawarkan jika sekiranya BN bersama rakan-rakan kongsi yang lain dapat membentuk semula kerajaan di negeri Sabah,” katanya ketika ditemui media pada kempen Radu Kukusan Tanjung Batu, malam tadi.

Yang turut hadir sama, Setiausaha Agung BN merangkap Koordinator BN PRN Sabah, Tan Sri Anuar Musa, calon BN bagi DUN Kukusan, Chaya Sulaiman, dan BN di DUN Tanjung Batu, Andi Muhammad Surayadi Bandi.

zahid
Ahmad Zahid Hamidi menghadiri kempen Radu Kukusan Tanjung Batu, malam tadi.

Mengulas mengenai pemilihan calon tunggal wanita pada PRN kali ini, Ahmad Zahid menjelaskan, pemilihan calon-calon telah pun diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi negeri selari dengan faktor autonomi BN Sabah.

“Sudah tentu kekecewaan itu saya dapat rasakan. Walau bagaimanapun, ada beberapa jawatan lantikan yang akan kita berikan kepada tokoh-tokoh negeri Sabah jika kita dapat memenangi kerusi-kerusi yang kita tandingi.

“Insya-Allah lantikan itu juga turut memberika tempat untuk tokoh-tokoh UMNO Sabah termasuk dari PAS. Kita akan berunding dengan rakan-rakan di dalam PN untuk memberi tempat kepada rakan-rakan yang lain di dalam parti gabungan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyelar dakwaan pihak tertentu yang mempertikaikan status pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang disifatkannya sebagai kurang celik.

“Saya fikir, orang yang membuat dakwaan itu seharusnya mengetahui bahawa Setiausaha Agung PN adalah Menteri Dalam Negeri dan ROS juga di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Sepatutnya orang yang mempertikaikan itu tahu bahawa perkara itu telah dilakukan. Walaupun UMNO dan BN bukan sebahagian daripada PN sebagai sebuah parti gabungan, tetapi atas nama kerajaan kita memberi dukungan kepada kerajaan PN,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.