HIjrah Nabi Muhammad atas perintah Allah

171

15 SEPT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan bahawa penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukanlah kerana melarikan diri, namun ia dibuat susulan perintah dan tuntutan Allah.

Beliau berkata, tiada satu nas (bukti) daripada al-Quran dan hadis yang merujuk perpindahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah sebagai satu pelarian sebaliknya adalah hijrah seperti yang diguna pakai dalam istilah syarak.

“Hijrah pula tidak boleh disamakan dengan pelarian kerana Rasulullah SAW bukanlah melarikan diri. Hal ini kerana baginda tidak keluar meninggalkan kota Mekah melainkan setelah mendapat arahan dan keizinan daripada Allah SWT.

“Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW diutuskan (menjadi Rasul) pada usia 40 tahun. Baginda tinggal di Mekah 13 tahun dan diwahyukan kepadanya kemudian baginda diperintahkan untuk berhijrah maknanya bukan nabi lari tetapi diperintah berhijrah.

“Maka baginda berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun di kota Madinah lalu baginda wafat dalam usia 63 tahun,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifili memberitahu, pihaknya telah menerbitkan risalah Al-Bayan yang berjudul Hijrah Rasulullah SAW, Ibrah dan Aplikasi Semasa bagi memberi penjelasan mengenai isu yang dicetuskan ekoran kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

“Dalam risalah tersebut saya telah bahaskan satu subtopik khusus mengnai hijrah Rasulullah SAW bukanlah satu pelarian,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.