Vape tingkat risiko penyakit baharu EVALI – Adham

240

14 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandangan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau lebih dikenali sebagai vape di negara ini akan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit baharu yang dikenali sebagai e-Cigarette and Vaping Associated Lung Injuries (EVALI)

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penyakit EVALI kini kian meningkat di kalangan pengguna vape di negara Amerika Syarikat yang akan menyebabkan kerosakan kepada dinding saluran pernafasan di dalam paru-paru.

“Sehingga bulan Febuari, sebanyak 2807 kes dan 68 kematian dicatatkan di negara Amerika Syarikat. Pakar-Pakar Malaysia juga telah mengesan dua kes EVALI berlaku di Wilayah Pesekutuan Labuan dan Kuching, Sarawak.

“Kes itu melibatkan dua remaja sehingga menyebabkan kecacatan kekal dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen yang berterusan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Adham memberitahu Jawatankuasa Khas Kerja Pakar yang ditubuhkan pada 2019 bagi mengumpul kajian saintifik terkini akibat penggunaan rokok elektronik berpandangan bahawa penggunaan rokok elektrik diharamkan sama sekali.

“Walau bagaimanapun keputusan Jemaah Menteri pada tahun 2016 kita ambil kira di mana penjualan cecair elektronik bernikotin kekal di bawah kawalan Akta Racun 1952 yang merupakan satu cara sebagai defector band iaitu larangan secara tidak langsung.

“Justeru penggunaan rokok elektronik ini adalah tidak wajar memandangkan penggunaan rokok elektronik mendatangkan kemudaratan kepada rakyat daripada kebaikan,” katanya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan celahan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh yang meminta penjelasan berkenaan rawatan tradisional dan Islam di hospital kerajaan, Adham berkata setakat ini, sebanyak 15 hospital kerajaan menggunakan pendekatan perubatan tradisional dan komplementari (T&CM)

Namun, tambahnya, masih belum ada lagi perubatan Islam dilaksanakan di hospital kerajaan dan akan mengadakan kajian yang teliti sebelum melaksanakan rawatan tersebut.

“Untuk rawatan Islam masih lagi menawarkan supaya pihak Jakim tampil bersama pihak KKM membincangkan kaedah sebenar bagaimana rukiah atau rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa tertentu.

“Sehingga kita mempunyai satu prinsip ‘eviden base’ kerana perlu bukti dalam melaksanakan tugas dan kita menggunakan garis panduan dan juga data-data digunakan sebelum ini dan akan datang. Untuk itu, kita menggunakan perkhidmatan di 15 buah hospital setakat ini berlandaskan kepada perkhidmatan tradisional dan mungkin pada masa depan kita akan menggunakan herba,”katanya. Oleh-AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.