Turki bantah Charlie Hebdo hina Nabi Muhammad

125

14 SEPT: Kebiadaban akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo menerbitkan semula kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW dibantah oleh lebih 200 orang yang menyertai demonstrasi di Istanbul, semalam.

Memetik laporan AFP, mereka berarak di Dataran Beyazit, kawasan dalam wilayah Eropah, dengan membawa sepanduk tertera amaran bahawa Charlie Hebdo dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron perlu ‘membayar’ harga yang tinggi.

Tindakan itu berikutan tindakan Macron mempertahankan akhbar juga mempunyai ‘kebebasan untuk menghina’.

Kementerian Luar Turki mengecam penerbitan semula kartun itu sebagai perbuatan tidak menghormati agama dan nabi.

Ketua Pengarang stesen televisyen Kudus (yang bermakna Baitulmuqaddis), Nureddin Sirin, memberi amaran bahawa Macron akan menerima akibatnya kerana keangkuhannya.

“Macron perlu bertanggungjawab bukan saja kerana mempertahankan penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad atas alasan kebebasan akhbar selain pendiriannya dalam pergolakan di timur Mediterranean,” katanya.

Sirin berkata demikian merujuk kepada ketegangan antara Perancis dan Istanbul berhubung penerokaan sumber gas asli di timur Mediterranean.

Greece dan Turki juga berbalah berhubung bekalan sumber tenaga asli serta hak sempadan maritim, dengan Perancis yang menyokong Greece menghantar kapal tentera ke wilayah itu.

Charlie Hebdo menerbitkan semula kartun menghina Nabi Muhammad SAW awal bulan ini, sempena permulaan perbicaraan serangan ke atas pejabat penerbitan itu oleh kumpulan militan Islam pada 2015.

Dalam serangan pada 7 Januari itu, seramai 12 individu termasuk beberapa kartunis kebanggaan Perancis terbunuh selepas adik beradik, Said dan Cherif Kouachi melakukan serangan bersenjata di pejabat majalah itu di Paris.

Pelaku itu terbunuh dalam serangan itu, namun 14 yang didakwa bersubahat, yang turut menyasarkan sebuah pasar raya Yahudi, dibicarakan di Paris awal bulan ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.