Reduan mahu selesai masalah air Tg Aru

88

14 SEPT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Mohd Reduan Aklee, mahu berusaha menyelesaikan pelbagai masalah termasuk isu bekalan air dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

Mohd Reduan berkata, beliau terpanggil untuk menjadi calon di DUN Tanjung Aru kerana melihat banyak masalah gagal diselesaikan wakil rakyat terdahulu yang bukan berasal dari kawasan itu.

Menurut beliau, antara masalah utama yang gagal diselesaikan oleh kerajaan Warisan Sabah adalah isu bekalan air yang terus membelenggu lebih 3,000 penduduk di Tanjung Aru, sejak sekian lama.

Reduan Aklee
Mohd Reduan Aklee (dua dari kanan) berbual bersama penduduk ketika berkempen d Pulau Gaya.

Berikutan itu, sebagai anak tempatan, Mohd Reduan berkata, sudah pasti beliau akan memberi fokus kepada usaha untuk menyelesaikan masalah kemudahan infrastruktur dan memastikan penduduk menerima perhatian seadil-adilnya.

“Aku kerja kerana PRN kerana aku sedar sampai bila kita akan dipimpin oleh orang luar, sekarang sudah anak jati N22 Tanjung Aru… Apa tunggu lagi mari kita undi.

“Kalau bukan kita siapa lagi, undi dalam tangan apa salah kita bagi anak jati di DUN sendiri ‘Mohd Reduan bin Datuk Haji Aklee’. Tidak kira apa juga bangsa dan agamamu kita tetap jiran, teman, sepupu, saudara, anak buah, cucu, cicit,” katanya ketika berkempen di Kampung Gaya di Pulau Gaya di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Reduan berkata, ketiadaan bekalan air bersih menyebabkan penduduk perlu membeli air yang dibekalkan syarikat swasta setiap hari untuk memasak, mandi dan kegunaan harian lain.

Beliau menambah, selaku calon anak muda, perhatian turut diberikan kepada golongan pelapis khususnya pendidikan tidak akan dipandang sepi.

Mohd Reduan menjelaskan, generasi muda di pulau ini perlu mendapat pendidikan sebaik mungkin agar dapat membela nasib diri dan keluarga.

Katanya, usah timbul sentimen anak tiri daripada kerajaan negeri kepada penduduk pulau ini kerana mereka juga menyumbang kepada sosioekonomi setempat.

“Banyak potensi boleh dibangunkan di Pulau Gaya khususnya sektor pelancongan dan perikanan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.