Polis lulus 257 permit ceramah politik

60

14 SEPT: Polis Sabah meluluskan 257 daripada 264 permohonan permit ceramah oleh parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 mulai semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Asisten Komisioner Tan Boon Sing berkata, tujuh permit ceramah ditolak selepas lima daripadanya tidak diisi lengkap manakala dua lagi ditarik balik oleh pemohon sendiri.

Boon Sing berkata sepanjang tempoh sama, polis turut menerima tujuh laporan polis berkaitan salah laku dalam PRN Sabah kali ini.

“Setakat ini, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan selebihnya pula adalah berkaitan pemantauan yang dibuat ketika PRN Sabah dan tiada kes kesalahan yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Boon Sing berkata, semua penyokong dan calon parti dinasihatkan supaya hadir di tempat ceramah atau perhimpunan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, antara SOP yang perlu dipatuhi ialah mengekalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka serta penganjur perlu mencatatkan kehadiran dan suhu badan individu yang hadir serta menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Selain itu, calon atau penganjur hendaklah memohon permit ceramah daripada Ketua Polis Daerah di kawasan tempat ceramah diadakan,” katanya.

Tambah beliau lagi, calon, ejen dan penyokong diingatkan bahawa PRN kali ini diadakan ketika Perintah Sekatan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit Dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan dengannya.

“Oleh itu, adalah dinasihatkan semua mengikut SOP yang dikeluarkan untuk mengelak ditangkap atau dikenakan kompaun,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.