Mengapa Husam letak jawatan Naib Presiden PAN?

3,529

14 SEPT: Tindakan Datuk Husam Musa meletak jawatan sebagai Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) telah mencetuskan pelbagai spekulasi.

Ada yang mendakwa keputusannya itu ada kaitan dengan perselisihan faham atau protes terhadap pimpinan tertinggi parti tersebut.

Segala persoalan akhirnya terjawab apabila PAN mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung peletakan jawatan Husam hari ini.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad berkata, permohonan Husam untuk meletak jawatan telah diluluskan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional parti itu pada 6 September lalu.

Menurut beliau, Husam membuat permohonan itu bagi membolehkan beliau membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 di Kelantan.

“Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, Jawatankuasa Nasional PAN telah mengambil keputusan untuk meminta beliau berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro PAN dalam persiapan menghadapi PRU-15.

“Tiga biro ini adalah Biro Pilihan Paya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi. Kertas cadangan berhubung peranan baharunya sedang disediakan untuk persetujuannya,” katanya.

Pada masa yang sama, Khalid menambah, apa jua gambaran bahawa Husam meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan Presiden PAN, Mohamad Sabu atau mana-mana pimpinan PAN adalah tidak berasas. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.