Malaysia konsisten bantah pelan haram Zionis Israel

51

14 SEPT: Malaysia konsisten dengan pendiriannya menentang pelan haram dan unilateral oleh rejim Zionis Israel untuk melaksanakan rancangan pengilhakan sebahagian wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pendirian kerajaan Malaysia dalam isu Palestin adalah berprinsip.

“Malaysia berpegang pendirian sama sejak sekian lama bahawa pembentukan negara berdaulat Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Palestin merupakan satu-satunya sahaja penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Kamarudin menambah, Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan khususnya menerusi rundingan membabitkan pihak berkaitan berdasarkan undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan.

Berhubung kenyataan bersama dikeluarkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis lalu, beliau berkata, Malaysia berpandangan bahawa keputusan untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel adalah hak kedaulatan UAE.

“Pendirian kerajaan Malaysia kekal bagi mana-mana negara berhasrat mempunyai hubungan dengan Israel tanpa mengira hubugan negara-negara lain dengan Israel,” katanya.

Kamarudin turut menyatakan hasrat kerajaan Malaysia melantik konsul kehormat di Ramallah dan Gaza sebagai tindak balas terhadap perbuatan Israel mengisytihar Baitulmaqdis ibu negaranya dan tindakan negara Barat menyokong keputusan negara Yahudi itu.

“Kementerian Luar juga juga akan menubuhkan unit Palestin di Kedutaan Malaysia di Jordan yang membolehkan Malaysia mempunyai perwakilan di kedua-dua wilayah Palestin,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.