Letak jawatan kalau gagal berkhidmat untuk rakyat

107

14 SEPT: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa semua calon BN yang dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 26 September ini, akan melaksanakan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah menegaskan, mana-mana ADUN BN yang gagal berbuat demikian mesti meletak jawatan.

Bung Moktar berkata, beliau memberi peringatan itu supaya ADUN BN bekerja bersungguh-sungguh untuk projek pembangunan dan kebajikan rakyat sentiasa dijaga.

bung moktar
Bung Moktar berucap ketika membantu kempen calon BN bagi DUN Sekong, Hazulizah Mohd Dani di Kampung Bakau, Batu Sapi, Sabah, hari ini.

“Tindakan berkenaan perlu kerana sebelum ini, ramai wakil rakyat lalai dan leka apabila dipilih menjadi wakil rakyat sehingga menyebabkan rakyat hidup susah akhirnya menjejaskan imej parti.

“Kita tidak mahu menjadi seperti ‘seekor kerbau membawa lumpur semua akan terpalit’. Jadi mana-mana wakil rakyat BN yang tidak ‘perform’ maka kita akan menasihatkan mereka supaya berhenti kerana parti kena berterusan wujud, tetapi wakil rakyat boleh datang dan pergi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai kempen bersama calon BN DUN Sekong, Hazulizah Mohd Dani, di Kampung Bakau, Batu Sapi pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar memberitahu, BN mengambil keputusan untuk meletakkan lebih 90 peratus calon anak muda kerana ia menepati kehendak dan keperluan masyarakat setempat di Sabah.

Namun, beliau berkata, bukan semua anak muda yang mempunyai bakat menjadi pemimpin di peringkat tertinggi termasuk menjadi ADUN.

“Kita hanya pilih anak muda mempunyai kebijaksanaan pengurusan politik bukan hanya pandai bercakap. Ramai ada muda yang menjadi Ahli Parlimen hanya tahu bercakap namun tidak tahu membuat kerja dan berpolitik.

“Kita mahu calon anak muda yang bukan hanya bercakap tetapi dapat melaksanakan tugas diamanahkan dengan baik,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.