Ekonomi Malaysia mampu catat pertumbuhan positif

134

14 SEPT: Ekonomi Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini walaupun kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 17.1 peratus untuk suku kedua 2020.

Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS, Mazli Noor berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan analisis terkini data-data ekonomi dan pasaran kewangan negara untuk Julai 2020.

Menurut beliau, sebagai rujukan, berdasarkan prestasi suku kedua 2020 ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meletakkan sasaran baharu pertumbuhan KDNK untuk 2020 iaitu antara -3.5 peratus hingga -5.5 peratus.

MAZLI NOOR

“Walaupun dengan fakta di atas, kami masih mensasarkan pertumbuhan positif bagi negara, walaupun pada julat yang amat marginal. Ini berdasarkan kepada angka-angka terkini, yang pada keseluruhannya menunjukkan suasana makro ekonomi Malaysia bergerak dalam trend meningkat dan ke arah normalisasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mazli menambah, aktiviti ekonomi secara umumnya menunjukkan peningkatan terutama dalam sektor pembuatan.

Beliau memberitahu, data terkini untuk Julai 2020 menunjukkan Indeks Pengeluaran Industri (IPI) telah mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2 peratus berbanding Jun 2020, pertumbuhan positif yang pertama sejak Februari 2020.

“Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan daripada semua sektor utama iaitu pembuatan 0.2 peratus perlombongan (4.4 peratus) dan elektrik (4.2 peratus).

“Ini secara langsung telah memberi kesan kepada pasaran buruh Malaysia yang mana kadar pengangguran juga telah menurun sebanyak 3.6 peratus kepada 4.7 peratus, berbanding Jun 2020.

“Justeru telah memberikan pekerjaan kepada 15.07 juta pekerja yang berkerja di dalam pasaran buruh negara,” jelasnya.

Mazli berkata, berdasarkan penelitian, paras harga juga telah menunjukkan pergerakkan ke arah lebih stabil di mana Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk Julai 2020 menunjukkan penyusutan pada julat yang mengecil iaitu pada -1.3 peratus sekali gus menunjukkan trend ke arah kestabilan berbanding -1.9 peratus pada Jun 2020.

Beliau berpandangan, langkah BNM mengekalkan Kadar Asas Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus adalah tepat bagi mengekang tekanan deflasi dan mengelakkan paras harga daripada terus mengalami kejatuhan.

Mazli menyatakan, OPR tidak harus berterusan diturunkan, sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun 2020, bagi mengekal keseimbangan pasaran.

“Ini terbukti bila mana pasaran kewangan juga telah menunjukkan peningkatan di mana pinjaman bersih tumbuh sebanyak 4 peratus bagi Julai 2020, yang disokong oleh bon korporat yang tumbuh pada 2.9 peratus dan pinjaman (4.5 peratus).

“Secara pecahan pinjaman isi rumah tumbuh sebanyak 4.3 peratus dalam tempoh yang sama manakala pinjaman perniagaan tumbuh pada 3.9 peratus,” ujarnya.

Katanya, walaupun terdapat kebimbangan kepada daya tahan sektor perbankan dalam rejim OPR yang rendah, ia masih mampu untuk bertahan walaupun terdapat impak kepada keuntungan sektor tersebut.

“Setakat Julai 2020 nilai lebihan modal sistem perbankan Malaysia adalah sebanyak RM118.1 billion,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.