615 kes aktif COVID-19 di seluruh negara

101

14 SEPT: Sabah terus mencatatkan kes tempatan baru COVID-19 yang tertinggi dengan hari ini sebanyak 23 lagi kes dilaporkan daripada keseluruhan 28 penularan dalam negara.

Daripada jumlah itu, 17 dikesan daripada kluster Benteng LD manakala bakinya saringan pesakit di hospital Kudat, Tawau, Lahad Datu dan Klinik Kesihatan Merotai serta satu saringan kontak rapat kes sebelum ini.

Turut dilaporkan hari ini, satu kes saringan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya sebanyak 31 kes dilaporkan dengan tiga kes import melibatkan jangkitan dari Indonesia dengan dua daripadanya di Sabah dan satu di Kuala Lumpur.

Katanya, selain 23 kes di Sabah, Kedah juga mencatatkan kes baru melibatkan kluster Sungai dengan seorang individu yang disaring dikesan positif virus tersebut.

Ujar beliau, empat lagi kes tempatan melibatkan kluster Bunga dengan kesemua yang terlibat adalah krew sebuah kapal yang masih berlabuh di Port Dickson.

“Empat kes baharu dilaporkan dalam kluster ini melalui persampelan kedua bagi sejumlah 22 krew kapal yang masih berada di atas kapal yang berlabuh di Port Dickson.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 dalam kluster ini adalah 10 kes,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambah Noor Hisham, terdapat tujuh kes yang telah pulih dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 bertambah kepada 615 kes di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini, terdapat sebelas kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes,” ujarnya.

Sementara itu, jelas Noor Hisham, beberapa kawasan berisiko tinggi dalam daerah Kota Setar telah dikenal pasti dan saringan masih giat dijalankan kepada penduduk setempat.

Setakat ini, katanya, proses saringan berjalan lancar dan kerjasama penduduk setempat adalah baik.

“Justeru, kerjasama semua penduduk diperlukan untuk terus kekal berada di rumah dan hanya keluar rumah untuk urusan perlu sahaja.

“Penduduk juga dinasihat tidak meninggalkan kawasan yang telah diumumkan sebagai PKPD secara pentadbiran.

“KKM berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah dan pihak berwajib daripada pelbagai agensi yang telah bertungkus lumus bersama dengan KKM dalam memastikan urusan di kawasan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.