Shafie macam budak sekolah – Najib

195

13 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, umpama ‘budak sekolah’ kerana mengadu kepada mentornya Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum majlis penamaan calon, semalam.

Najib juga hairan mengapa Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu perlu mengadu kepada Dr Mahathir tentang ketibaannya di Tawau, semalam.

“Presiden Warisan ini penyokong kuat atuk (Tun Dr Mahathir). Tadi dia pun telefon atuk kata Najib datang Tawau. Macam budak sekolah mengadu kat cikgu. Cikgu ada budak jahat.

“Saya nak mengadu. Ini dia saya pula disebutnya dalam banyak-banyak pemimpin, saya pulak yang disebut,” kata Ahli Parlimen Pekan pekan itu ketika berucap dalam sesi ceramah Pilihan Raya ‘Bossku’ bersama jentera Barisan Nasional (BN) di Pusat Gerakan BN Kalabakan, malam tadi.

Sebelum ini, gambar dan video memaparkan Mohd Shafie sedang membuat panggilan video dengan Dr Mahathir tular dalam media sosial.

Dalam rakaman video itu, Mohd Shafie didapati membuat panggilan video dan memberitahu perkembangan terkini sambil bertanya khabar kepada Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.

Malah, Mohd Shafie juga memaklumkan kepada Dr Mahathir bahawa Najib berada di Tawau untuk membantu jentera kempen BN di sana.

“Takut kepada Bossku ke? Sampai mengadu kepada Atuk,” kata Najib. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.