Perancangan king maker Pas berjaya

81

12 SEPT: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rancangan membawa pendekatan baharu politik menerusi Ta’awun Siyasi yang dibuat beliau bersama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Allahyarham Datuk Dr Haron Din kini berjaya.

Abdul Hadi berkata, beliau sebenarnya pernah menduga perkembangan terkini politik yang berlaku di negara ini sekarang.

“Dengan jumlah 18 kerusi Parlimen, dua buah negeri yang kita menang tiba-tiba Allah menyerlahkan kita menjadi King Maker’ yang melakukan perubahan politik tanah air, yang berlaku bukan Langkah Sheraton, itu langkah kita sebenarnya. Biarlah orang tak tahu, itu lebih baik. Orang nampak Langkah Sheraton sahaja.

“Pendekatan ‘cooperation‘, bukan ‘coalition‘, pendekatan yang lebih longgar, tetapi fleksibel, tidak memutuskan kita daripada perjuangan Islam.

“Ketika semua parti politik dalam keadaan yang bergolak, kita dilamar oleh semua pihak, dipinang oleh semua orang, kerajaan dan pembangkang,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61 di PUTIK, Kota Bharu, Kelantan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PAS kekal memperkenalkan politik Islam sebagaimana ditunjuk oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan menyatukan umat Islam dahulu kerana mereka yang berhak memimpin.

Beliau berkata PAS seterusnya menyatukan masyarakat majmuk, melibatkan semua kaum di mana mesej itu kedua-dua dapat dilaksanakan bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional dengan UMNO dan membuahkan Kongres Perpaduan Melayu bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dua-dua sudah minat kepada Islam, UMNO sanggup mengubah undang-undang tubuhnya, meletakkan Islam di hadapan. Tun Dr Mahathir menegaskan kepada saya, dia nampak Islam yang boleh menyelesaikan masalah, cuma berkhilaf dalam masalah pendekatan, berkhilaf dalam masalah itu sahaja.

“Akhirnya kita berjaya mewujudkan Perikatan Nasional, menawan Putrajaya dalam keadaan tenang, satu pertukaran kuasa secara demokratik, bukan pintu belakang, bukan tebuk atap. Melalui ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, melalui Raja Yang di-Pertuan Agong, bukan tebuk atap, ini mengikut Perlembagaan,” jelasnya.

Kata Abdul Hadi, perancangan ini berjaya dengan PAS mendapat tempat dalam Kerajaan Pusat serta menambah satu negeri lagi, Kedah dengan cara yang tidak gopoh seperti orang lain.

“Alhamdulillah ahli-ahli PAS setia kepada parti. Mereka tidak gelabah, kerana mereka yang gelabah itu, sudah tak ada dalam parti kita. Kita selamat,” katanya.

Abdul Hadi menegaskan apa yang penting sekarang adalah PAS mahu mengukuhkan lagi kedudukan perjuangan ini untuk mendapat mandat rakyat secara langsung melalui PRU15 yang mana pengundi muda diakuinya menjadi penentu sangat besar, sekali gus peranan besar Pemuda PAS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.