Norazman yakin mampu tumpaskan Shafie

224

13 SEPT: Biarpun diletakkan sebagai calon ‘underdog’ kerana menentang sepupunya yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, Norazman Utoh Nain tetap yakin mampu meraih kemenangan.

Beliau berkata, pertandingan sesama ahli keluarga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bukanlah sesuatu perkara yang asing di kawasan Parlimen Semporna sekali gus menyajikan senario politik berbeza dengan tempat lain.

Malah, Norazman yang juga Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Semporna memberitau, selain Mohd Shafie, beliau juga berdepan dengan tiga calon lain iaitu Mad Jalie Lais dari Parti Cinta Sabah (PCS), Mohammad Ramzan Abdul Wahab dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Datu PgAhmad Datu Ali Alam dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

“Kalau kita lihat dalam kalangan calon-calon yang bertanding di ketiga-tiga DUN di sini (Sulabayan, Senallang dan Bugaya) semuanya saling mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Di Semporna ini keunikan dia, tiada masaalah dari segi hubungan kekeluargaan, kami cuma berlainan ideologi politik, kita membawa haluan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam pada itu, Norazman berkata, biarpun pertama kali bertanding, bersama jentera PN dan BN akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih sokongan pengundi.

“Kita akur dan kena terima hakikat bahawa lawan yang kita hadapi ini bukan calang-calang (Ketua Menteri Sabah) dan buktinya tumpuan media diberikan kepada DUN ini.

“Kita akan bekerja sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh untuk cuba menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRN kali ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mohd Shafie memenangi kerusi DUN Senallang dalam pertandingan satu lawan satu dengan menewaskan Datuk Seri Nasir Tun Sakaran Dandai dari BN dengan undi majoriti 5,301 undi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.