Malalap pasti milik BN – Jamawi

125

13 SEPT: Biarpun berdepan saingan enam penjuru termasuk dua tokoh politik terkemuka Sabah, calon Barisan Nasional (BN), Jamawi Jaafar tetap yakin mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Jamawi menjelaskan walaupun ditentang oleh lima calon lain yang cukup hebat, beliau mempunyai kelebihan tersendiri kerana berkeupayaan memikat hati pengundi dan anak jati di situ.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabon itu memberitahu, beliau amat mengenali hati budi dan pelbagai masalah dihadapi penduduk di DUN Melalap.

“Saya akui perlawanan ini sengit kerana berhadapan dengan calon-calon yang berkaliber bagaimanapun kita akan melakukan yang terbaik mendekati pengundi di peringkat akar umbi bagi menjelaskan isu dan wawasan saya untuk membangunkan kawasan DUN Melalap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memulakan kempennya hari ini.

Mengulas lanjut, Jamari berkata beliau juga sudah menyusun pelbagai perancangan dan projek pembangunan infrastruktur, pertanian dan pelancongan untuk membantu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi penduduk di situ andai kata dipilih sebagai ADUN Melalap baharu, pada 26 September ini.

“Bagi merealisasikan hasrat ini sudah tentu saya memerlukan sokongan dari rakyat dengan memilih kerajaan yang stabil, berwawasan dan boleh bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk membantu memacu proses yang lebih mampan,” katanya

Jamawi akan ditentang oleh lima calon lain termasuk penyandang kerusi DUN Melalap, Datuk Peter Anthony, Datuk Seri Panglima Radin Malleh serta tiga wakil parti lain iaitu Apiang Bin Sausun (Parti Cinta Sabah), Sazali Justin (USNO) dan Masdin Tumas (LDP).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.