Kelemahan PH pemangkin sentimen anti-Islam

117

13 SEPT: Kelemahan peranan Islam yang terdapat dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu telah memberi semangat kepada kumpulan pelampau anti-Islam yang berani bersuara untuk mencabar Islam dan umatnya serta menghanyutkan orang Islam yang leka atau bebal.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kesedaran dan kebangkitan telah menyatukan mereka yang peka dalam semua parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem kerana konsep masyarakat majmuk tidak dapat ditangani dengan pendekatan liberal dan pragmatik sekular.

Menurut beliau, maka mereka yang peka dengan pendekatan yang sangat negatif itu, tetap mencintai perpaduan dan keharmonian bermasyarakat majmuk supaya kembali semula kepada
landasan yang betul dan beristiqamah.

“Marilah kita bersatu-padu dalam gabungan parti politik yang dibentuk sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan bersedia untuk menang dan mengisi kemenangan dengan membentuk kerajaan yang lebih kukuh.

“Begitu juga kerajaan yang mendapat sokongan majoriti rakyat secara langsung dengan dikembalikan kepada mereka melalui pilihan raya umum,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-66 di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, PAS berpijak di atas landasan aqidah Islam sebagai al-din dan mentafsirkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dalam Perlembagaan.

Abdul Hadi memberitahu, di samping itu, hak diberikan kepada agama lain mengikut Perlembagaan Persekutuan termasuk jaminan hak istimewa orang Melayu yang sinonim bersama Islam.

“Persediaan mengisi kemenangan dengan menyediakan pasukan calon yang berwibawa bagi memandu masa depan negara yang akan menghadapi cabaran yang lebih besar dan lebih mencabar dari segi politik, ekonomi dan budaya.

“Hal yang demikian disebabkan kesan daripada kegagalan ideologi Timur dan Barat, serta kesan wabak pandemik COVID-19 yang melumpuhkan segala kegiatan dan pergerakan,” jelasnya.

Beliau turut menyeru kepada semua pihak untuk memanfaatkan sumber tenaga dan kepakaran manusia serta hasil perut bumi tanah air sendiri.

Abdul Hadi menyatakan, persediaan sumber manusia perlu dilakukan melalui sistem pendidikan holistik yang merangkumi unsur jasadi, rohani dan aqli.

“Termasuk mengatur konsep media yang bermoral dan kemajuan teknologi terkini.

“Begitu juga perancangan ekonomi yang menghasilkan peluang pekerjaan dan menjana hasil keperluan negara yang mencukupi, serta memperkasakan kehebatan undang-undang dengan memperkenalkan syariat Islam yang sempurna.

“Tambahan lagi, menyediakan jentera kerajaan dan pasukan yang mewujudkan keselamatan dan keamanan negara yang hebat,” ujarnya.

Beliau berkata, perkara yang paling penting adalah mengukuhkan perpaduan rakyat yang bertonggakkan umat Islam bersama masyarakat majmuk bagi melangsungkan perjuangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan- Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Abdul Hadi menjelaskan, di samping menjaga ketegasan bersama Islam, umat Islam juga diwajibkan bermasyarakat madani dan manusiawi dengan menerima budaya positif, kebijaksanaan dan kepakaran daripada semua kaum dan bangsa. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.