Jangan pilih Warisan kalau Sabah mahu maju

158

13 SEPT: Rakyat Sabah perlu memilih calon yang tepat pada 26 September ini jika mahu melihat lebih banyak projek pembangunan infrastruktur dan ekonomi dilaksanakan di negeri ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tindakan itu perlu kerana banyak projek berskala besar terpaksa dihentikan selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berikutan itu, Najib yang juga bekas Presiden UMNO mengajak rakyat Sabah khususnya pengundi untuk menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai medium untuk menentukan masa hadapan mereka ke arah yang lebih baik.

Beliau juga mengimbau kembali bagaimana beliau membawa masuk pelbagai projek pembangunan ke Sabah ketika menjadi Perdana Menteri termasuk antaranya ialah projek Lebuh Raya Pan Borneo dan banyak lagi.

“Kita nak habiskan, nak siapkan Pan Borneo termasuk di Tawau tapi semuanya terhenti sewaktu BN kalah… maka PRN ini adalah peluang kita untuk kembalikan Sabah ke arah masa depan yang lebih baik,

“Saya banyak bawa kemajuan dalam tempoh sembilan tahun saya menjadi perdana menteri sedangkan ada orang yang 22 tahun jadi perdana menteri tapi tak tinggalkan apa-apa,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap di Program Santai Bersama ‘Otai’ UMNO dan Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia di DUN Kukusan, hari ini.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Presiden Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia, Datuk Samsul Alang Hamsah dan calon DUN Kukusan, Chaya Sulaiman bersama warga setempat khususnya ahli-ahli persatuan terbabit.

Terdahulu, dalam majlis berasingan, Najib menjelaskan Sabah lebih pesat membangun semasa BN apabila kadar pertumbuhan ekonominya mencecah 8.2 peratus pada 2017 tetapi menjunam ke 1.5 peratus pada 2018 apabila kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Maknanya Warisan gagal. Nak sebut mereka ‘gagal keras’ pun boleh. Jadi, adakah kita masih menyokong orang (kerajaan) yang gagal. Kita mestilah mahu orang yang boleh membawa kebaikan kepada negeri dan negara kita,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.