Chaya mahu jadi ADUN Kukusan pertama

200

13 SEPT: Calon Barisan Nasional (BN), Chaya Sulaiman, tidak gentar dengan saingan enam penjuru dan yakin mampu mencipta sejarah tersendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan yang pertama.

Selaku satu-satunya calon dari Wanita UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Kalabakan percaya akan menang besar.

“Saya rasa kita mampu untuk beroleh kemenangan sebab di sini majoriti adalah orang Melayu dan merupakan kerusi baharu yang ditempatkan calon wanita.

“Mudah-mudahan saya boleh cipta sejarah untuk DUN ini walaupun kedudukannya di tepi bandar tapi belum ada pembangunan yang kita nampak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kerusi DUN Kukusan bakal menjadi rebutan enam calon selain Chaya iaitu Rina Jainal (Parti Warisan Sabah), Ismail @ Taufik Muin (Parti Cinta Sabah), Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan Rosdiansah Mohd Nor (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Untuk rekod, DUN Kukusan terletak dalam Parlimen Kalabakan dengan memiliki 12,640 jumlah pengundi, sebelum ini terletak di bawah DUN Tanjung Batu sebelum persempadanan semula dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Kukusan adalah salah satu daripada 13 DUN baharu yang diwujudkan di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan 73 kerusi.

Dalam pada itu, Chaya berkata, sebagai wanita, beliau akan dipilih oleh pengundi DUN Kukusan kerana dirinya senang didekati oleh pengundi selain mempunyai pengalaman lama dalam politik.

“Saya rasa sebagai wanita saya lebih dekat dengan masyarakat memandang saya sudah lama bersama mereka. Mungkin sebagai wakil rakyat nanti saya lebih aktif dan saya calon tunggal Wanita UMNO di seluruh Sabah,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.