9,915 kes positif COVID-19 setakat ini

27

13 SEPT: Sebanyak 47 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,915 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 591 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada 47 kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, dua kes import tersebut masing-masing adalah dari Maldives (satu kes di Kuala Lumpur) dan Maghribi (satu kes di Selangor).

Bagi kes melibatkan rakyat tempatan, 31 kes dikesan di Sabah dan 14 kes di Kedah.

“Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.29 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sebanyak tujuh kes yang pulih COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,196 kes (92.75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.