294 kunjung kelab malam, ingkar arahan PKP

85

13 SEPT: Seramai 294 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terlibat dalam aktiviti di dalam pub atau kelab malam, sekali gus melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, sebanyak 56 orang ditahan kerana terlibat dalam parti peribadi dan empat orang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran.

Menurut beliau, secara keseluruhan, polis telah memberkas seramai 512 indivividu semalam dan daripada jumlah itu, seramai 452 individu telah dikompaun manakala 59 individu direman dan seorang lagi dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (32), tidak memakai pelitup muka (14), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (103), premis beroperasi melebihi tempoh (8) dan gagal mematuhi arahan kuarantin PKPD (1),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung Operasi Benteng, Ismail Sabri memberitahu, pihak berkuasa berjaya melakukan tangkapan melibatkan seramai 80 pendatang tanpa izin, enam penyeludup dan seorang tekong.

“Daripada jumlah itu, di Sungai Nipah Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya menahan 20 PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya.

Sebanyak 82 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (57 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysian (10 SJR), dan ATM (15 SJR). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.