Ulama perteguh muafakat demi perkasa penyatuan PN

44

12 SEPT: Perubahan iklim politik yang memihak kepada PAS di peringkat Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri memberi perbezaan kepada Muktamar PAS tahun ini.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia adalah hasil daripada strategi parti yang mengadakan hubungan kerjasama politik pintar dengan beberapa parti politik lain yang akhirnya membentuk politik dikenali Perikatan Nasional (PN).

“Bila Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti, PN diberi peluang untuk mengambil alih. Kita bersyukur kepada Allah yang mengurniakan kekuasaan dengan perkongsian pemerintahan.

“Justeru, Muktamar tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-59 yang berlangsung hari ini memilih tema ‘Ulama Perteguh Muafakat,'” katanya pada ucaptama di Muktamar Tahunan di Markas Dewan Ulama (MADU) Pengkalan Chepa, hari ini.

Dalam pada itu Nik Muhammad Zawawi yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) memberitahu, PAS sedang melalui marhalah tamkin yang banyak tanggungjawab dan cabaran.

“Kerajaan PN yang dibentuk melalui strategi dan taktik yang sangat hebat berdasarkan perlembagaan negara dan nilai demokrasi.

“Kita berdoa kepada Allah agar mengekalkan kemenangan ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Peranan ulama dalam mengisi kemenangan di peringkat federal dan negeri mesti difahami dan direalisasikan dalam kerangka yang tepat,” katanya

Justeru itu, Muhammad Zawawi menambah, Dewan Ulama PAS menggariskan lima tonggak dalam membina perpaduan nasional.

Menurut beliau, lima tonggak berkenaan adalah menjaga hak majoriti secara adil, menghormati Islam sebagai pasak kestabilan dan mengharmonikan kesejahteraan dalam masyarakat majmuk.

“Selain itu, mendahulukan jalan perdamaian dan kesejahteraan dan menolak sebarang anasir khianat,” katanya.

Beliau turut menggariskan beberapa teras supaya Dewan Ulama boleh berperanan bagi memperteguhkan muafakat dalam iklim dan suasana politik terkini.

“Teras berkenaan antaranya tolong menolong dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, terbabit dalam perkara dosa dan permusuhan.

“Tidak melanggar garis sempadan hukum syarie, kerjasama dengan golongan non muslim yang bersikap lunak Islam selain melaksanakan keadilan untuk semua,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.