Tidak letak calon, Pas dapat elak perangkap musuh

108

12 SEPT: Ketiadaan calon Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah strategi politik selain dapat memperkukuhkan lagi kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun mungkin ada sedikit kekecewaan kerana keputusan itu, beliau berkata, keseluruhannya Pas Sabah akur dengan pendirian pucuk pimpinan untuk memberi laluan kepada parti sekutu.

“Kita nak elak perangkap yang dipasang musuh (politik), kerana kalau kita turut bertanding akan timbul pertembungan sesama sendiri. Natijahnya ialah kerugian kepada muafakat,” katanya.

Tuan Ibrahim ditemui pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-61 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di Pengkalan Chepa, hari ini.

Pada peringkat awal, Pas pernah menyatakan hasrat untuk bertanding di 10 kerusi pada PRN Sabah.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, demi muafakat, parti itu menghormati keputusan rakan-rakan di Sabah yang berhasrat bertanding di kesemua 73 kerusi selepas rundingan dimuktamadkan.

Hari ini berlangsung penamaan calon bagi PRN itu sementara pengundian untuk pengundi biasa ditetapkan pada 26 September ini.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis itu, Tuan Ibrahim memahami kesedihan dan kekecewaan pimpinan Pas Sabah namun semua pihak perlu melihat kepada agenda yang lebih besar.

“Alhamdulillah, seluruh jentera parti akur kerana melihat kepada agenda yang lebih besar. Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh.

“Kita mesti melihat kepada kesan jangka masa panjang. Ada polisi yang dipegang oleh Majlis Syura Ulama’. Kita tidak bimbang kerana Pas dipandu oleh Majlis Syura Ulama dalam membuat keputusan selagi tidak bercanggah dengan syarak,” tegasnya.

Beliau juga pada masa sama menyeru agar setiap ahli parti sama-sama dapat memanfaatkan peranan masing-masing di dalam kerajaan yang bersama dengan Pas saat ini serta membuktikan kemampuan melalui pencapaian agensi yang dipegang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.