PRN bersejarah, saingan 3 hingga 11 penjuru libat 447 calon

319

12 SEPT: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 menyaksikan sejarah tersendiri apabila berlaku pertembungan 11 penjuru di kerusi Dewan Udangan Negeri N02 Bengkoka di bawah Parlimen Kudat dengan kesemua 73 kerusi menyaksikan sekurang-kurangnya saingan tiga penjuru.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pertembungan 10 penjuru pula berlaku di kawasan N02 DUN Inanam di bawah Parlimen Sepanggar, diikuti sembilan penjuru di tiga DUN; lapan penjuru (enam); tujuh penjuru (13), enam penjuru (26); lima penjuru (15); empat penjuru (lima) dan tiga penjuru (tiga).

DUN Api-Api 9 penjuru

Abdul Ghani berkata jika dilihat dari segi jentina jumlah calon yang bertanding pada PRN Sabah kali ini terdiri daripada 404 lelaki dan 43 wanita dengan calon termuda berusia 22 tahun di DUN Tandek dan tertua berusia 75 tahun di DUN Bugaya.

Beliau berkata dari segi julat umur pula seramai 11 calon berusia antara 18 hingga 29 tahun; 58 orang berusia 30-39 tahun; 98 orang berusia antara 40 hingga 49 tahun; 149 orang berusia 50 hingga 59 tahun dan 131 orang berusia 60 tahun ke atas.

“SPR mengesahkan selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi tadi seramai 447 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan akan bertanding di 73 kerusi DUN pada PRN Sabah ke-16.

“Kita sudah menerima dan mengesahkan 447 kertas penamaan yang layak bertanding bagi PRN Sabah ke-16 termasuk teramai dari Parti Cinta Sabah (PCS) sermai 73 calon, diikuti Parti Warisan Sabah (53 calon), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) 47 calon, Parti Liberal Demokratik (LDP) 46 orang dan Barisan Nasional (BN) 41 orang.

“Gabungan komponen Perikatan Nasional (PN) meletakkan 29 orang calon, diikuti Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) 28 orang, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) 23 orang, Parti Bersatu Sabah (PBS) 22 orang dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), 12; PKR (7), Parti Harapan Rakyat Sabah (5); Parti Anak Negeri (2) dan masing-masing satu dari PAN, Parti Kebangsaan Sabah dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah

“Selain itu, terdapat 56 calon Bebas,” katanya pada sidang media di Pejabat SPR Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata satu kertas penamaan calon dari wakil USNO di N23 DUN Petagas terpaksa ditolak kerana calon hilang kelayakan bertanding kerana bankrap.

Penyerahan borang pencalonan di DUN Limbahau

Beliau berkata dengan selesainya proses penamaan calon berkenaan maka SPR menetapkan bahawa tempoh berkempen PRN Sabah bermula sekarang hingga jam 11.59 malam pada 25 September 2020.

Berikutan itu SPR menubuhkan 73 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPPKKPR) selaras dengan Sekyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen pematuhan terhadap Garis Panduan Pencegahan COVID-19.

“Saya juga difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menubuhkan lima bilik gerakan dan mewujudkan talian ‘hotline’ khusus 010-943 6002 yang beroperasi 24 jam dari 11 hingga 30 September bagi memberikan maklum balas dan menerima aduan orang ramai berkaitan kes rasuah politik sepanjang PRN ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.