Muslimat Pas letak soal calon pada pimpinan

73

12 SEPT: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) akan memberi tumpuan kepada aspek kebajikan dan perihal kekeluargaan yang berkait rapat dengan institusi wanita sebagai persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua DMPM, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, program-program kebajikan dan menyantuni masyarakat perlu diteruskan di samping meneliti semula kekurangan sebelum ini agar dapat ditambah baik pada masa akan datang.

Menurut beliau, perihal penempatan calon wanita, DMPM meletakkan kepercayaan kepada pucuk pimpinan PAS bagi menentukan kedudukan dan jumlah calon Muslimat pada PRU-15 akan datang.

“Antara program yang giat dijalankan sebelum ini ialah berfokuskan kepada golongan miskin, OKU, pesakit, warga emas, armalah iaitu ibu tunggal dan yatim atau lebih dikenali dengan MOSWAY.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan berkenaan soal ini. Penempatan calon Muslimat yang bertanding di kawasan strategik yang mempunyai majoriti pengundi wanita seperti mana yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan PAS diharap dapat membangkitkan semangat juang di kalangan muslimat, serta kemenangan kepada parti.” katanya ketika ucaptama di Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS kali ke-60 hari ini.

Justeru itu, Nuridah berharap agar penglibatan Muslimat dalam pilihan raya diberi ruang sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk berkhidmat kepada para pengundi dan masyarakat sekitarnya.

“Begitu juga keadaannya dengan para petugas Muslimat yang sentiasa siap sedia untuk melaksanakan gerak kerja jentera pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Nuridah turut mengimbau sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia melalui usaha keras nenek moyang kita yang perlu dipandang tinggi dan dipertahankan

“Agenda perpaduan mestilah bermula dari dalam iaitu persis perpaduan dalam jemaah, diikuti pula perpaduan umat dan perpaduan agenda politik melalui Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

“Semestinya Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional adalah salah satu platform politik yang menggunakan peranan Islam dalam pembangunan negara yang makmur dan lestari,”katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.